Bahasa:   Tulisan:  
A-
A
A+
B
R
G
B

INOVASI DAN KREATIVITI TERAS PANDUAN KEJAYAAN TN2050

PUTRAJAYA, 15 DISEMBER 2016 – Indeks inovasi dan kreativiti menjadi teras panduan bagi menentukan sejauh mana negara ditransformasi menjadi 20 negara teratas di dunia menjelang 2050, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, terdapat dua matlamat ditetapkan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu jangka sederhana dan jangka panjang menjelang 2050. “Pada masa ini ekonomi Malaysia bernilai RM1.3 trilion dan dalam masa lapan tahun, mahu dilonjakkan kepada RM2 trilion yang mana bagi matlamat jangka panjang, saya akan berusaha gigih untuk memartabatkan Malaysia berada dalam kedudukan 20 negara teratas dunia. “Inovasi dan kreativiti ini ada hubung kait antara satu sama lain. Mana-mana negara, syarikat atau organisasi yang tidak amalkan inovasi sebagai budaya, negara itu akan dipintas dan akhirnya ketinggalan dalam dunia yang semakin mencabar. “Justeru, kita terpaksa memantapkan sistem penyampaian kerajaan untuk kesejahteraan rakyat walaupun di bawah kekangan kewangan dan sumber yang terhad,” katanya.

Perdana Menteri menjadikan perkembangan telefon mudah alih sebagai contoh di mana pada 1983 ada dua model iaitu Motorola dan Dancall, tapi kini kedua-duanya sudah pupus dalam pasaran. Kemudian muncul model Nokia tetapi ia juga semakin ketinggalan berbanding tiga model masa kini iaitu Apple, Samsung dan Huawei. Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, hanya syarikat yang amal inovasi sahaja boleh terus hidup. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) dan Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2016. Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Menteri dan Timbalan Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa serta pegawai kanan kerajaan.

Pemenang AIPM 2016 menerima ganjaran wang tunai RM1 juta, RM300,000 untuk tempat kedua dan RM200,000 bagi tempat ketiga serta piala dan sijil penghargaan. AISA 2016 terbahagi kepada empat kategori iaitu Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pengurusan Kewangan, Pentadbiran Daerah dan Tanah serta Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan. Pemenang setiap kategori AISA membawa pulang hadiah tunai RM150,000 bagi tempat pertama, RM100,000 (kedua) dan RM50,000 (ketiga) serta piala dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam ucapan aluannya berkata, kaedah NBOS yang menggunakan Grid ERRC iaitu hapuskan, kurangkan, tingkatkan dan wujudkan, turut diguna sebagai sebagai nilaian tambahan pemarkahan dalam penilaian projek atau program sebagai pengukuhan pembudayaan dan pelaksanaan berterusan.

Berikut adalah pemenang AIPM 2016;
Pertama – Kerajaan Negeri Melaka
Kedua – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Ketiga – Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Pemenang Utama AISA 2016 :
Kategori Pengurusan ICT
Pertama – Jabatan Perkhidmatan Awam
Kedua – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Ketiga – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

Pengurusan Kewangan
Tiada penerima

Pentadbiran Daerah dan Tanah
Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman (penerima tunggal)

Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan
Pertama – Majlis Perbandaran Ampang Jaya
Kedua – Majlis Bandaraya Ipoh
Ketiga – Majlis Perbandaran Kemaman