Bahasa:   Tulisan:  
A-
A
A+
B
R
G
B

PPR lebih luas, ‘kaya’ kemudahan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan diberi nafas baharu dengan memperuntukkan kediaman yang lebih luas dan dilengkapi kemudahan asas, seiring hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata keluasan rumah PPR akan ditambah kepada 850 hingga 900 kaki persegi (79 hingga 83.6 meter persegi), berbanding 600 kaki persegi (55.7 meter persegi) ketika ini.

Katanya, usaha penambahbaikan itu akan dilaksanakan terhadap projek PPR mulai tahun depan, sekali gus memacu kualiti kehidupan golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

“Setakat ini, ada tiga pelan rancangan, iaitu 2017, 2018 dan 2019. Justeru, pelan tahun depan kita akan kaji semula supaya setiap rumah mampu milik dalam golongan B40 mesti lebih luas.

“Sudah tiba masanya kita berikan golongan B40 rumah selesa, bukan kediaman sempit dengan anak ramai,” katanya pada temubual eksklusif dengan NSTP baru-baru ini.

Sejajar penambahbaikan itu, Zuraida berkata wujud kemungkinan harga rumah PPR meningkat pada kadar RM60,000 seunit, namun memperuntukkan kemudahan dan pengurusan lebih baik.

“Jika sekarang kediaman untuk B40 adalah antara RM35,000 hingga RM42,000, kini saya berpandangan golongan ini mempunyai kemampuan untuk memiliki rumah berharga RM60,000 bergantung kepada kawasan.

“Kita berikan keluasan yang lebih, manakala kehidupan mereka akan dilengkapi kemudahan ‘sewa untuk beli’ dengan syarat mempunyai rekod bayaran yang baik dalam tempoh tertentu.

“Jika menepati syarat, kita akan tawarkan mereka perjanjian jual beli unit berkenaan,” katanya.

Zuraida berkata, antara usaha penambahbaikan lain mencakupi penyelarasan lima perkara, iaitu lokasi, harga, reka bentuk, panduan kepada pemaju dan pengurusan organisasi penduduk.

Katanya, tindakan itu berupaya memberi peluang kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapat gambaran mengenai taburan projek supaya ia tidak hanya tertumpu di segelintir kawasan.

“Kita bercadang merencana Dasar Komuniti Negara buat pertama kalinya oleh KPKT membabitkan usaha merangka tindakan terhadap rakyat bagi memastikan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga harta benda awam, bukan menjadi pelaku vandalisme.

“Kita akan ubah supaya tindakan bagi sebarang kesalahan diambil dalam bentuk khidmat komuniti, berbanding pendekatan mengeluarkan kompaun yang dilaksanakan ketika ini.

“Biar mereka sapu dan cuci tangga kerana pendekatan ini bermanfaat kepada semua pihak termasuk penerima hukuman,” katanya.

Pendekatan itu, katanya, lebih bersifat mendidik kerana ia menyuntik perasaan malu dalam diri dan menjadi sebahagian daripada kaedah pembentukan sahsiah serta cerminan teladan kepada pihak lain, berbanding punitif.

“Penasihat perundangan negara kata pendekatan ini tidak boleh dilakukan tetapi hanya mampu keluarkan kompaun, tapi saya persoalkan kenapa negara luar mampu laksanakan?

“Bidang kuasa mungkin boleh diletakkan di bawah Pesuruhjaya Bangunan (COB) , Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), rukun tetangga atau persatuan penduduk. Oleh itu, saya bertekad supaya ia dilaksanakan,” katanya.